Ads 468x60px

Labels

Isnin, 22 Oktober 2012

PEMBANGUNAN TANAH WAKAF DI MALAYSIA: ISU DAN HALANGAN



PEMBANGUNAN TANAH WAKAF DI MALAYSIA: ISU DAN HALANGAN


Dr Mohd Afandi Mat Rani
Pensyarah, Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), Universiti Teknologi Mara, Shah Alam.

Abstrak

Wakaf adalah antara salah satu daripada institusi Islam yang wujud sejak daripada zaman Rasulullah saw berfungsi sebagai pemangkin ekonomi dan pembangunan umat Islam. Institusi ini juga merupakan tunjang kepada kejayaan sistem jaminan sosial Islam, selain mekanisme  zakat, sedekah dan lain-lain. Oleh itu, adalah menjadi satu keperluan yang mendesak pada hari ini untuk memastikan bahawa sistem itu dapat berjalan dengan baik seiring dengan perkembangan semasa. Peranan ini bukan hanya terhad diaplikasikan dalam urusan peribadatan kepada Allah S.W.T. sahaja, malahan ia dianggap sebagai institusi ekonomi yang mendatangkan impak kebaikan yang menyeluruh kepada orang Melayu khususnya dan  umat Islam amnya. Namun terdapat banyak halangan dan kekangan sehingga institusi ini tidak berfungsi sebagaimana diharapkan. Oleh itu, sifat lestari wujud dalam sistem wakaf  ini perlulah dirancang dan dilaksanakan secara sistematik agar ia dapat menjadi pemangkin kepada sistem jaminan sosial orang Melayu dan Islam pada masa kini..


Pendahuluan

Harta sadaqah, zakat dan wakaf telah terbukti mempunyai peranan istimewa dalam memajukan ummah sepanjang sejarah Islam. Sumbangan harta ini telah memberi impak yang besar dalam pembangunan ummah dalam setiap aspek, baik dari segi sosial, ekonomi, politik dan perundangan.[1] Pada hakikatnya, harta wakaf perlu dilihat sebagai sumber ekonomi terpendam umat Islam yang perlu dieksploitasi dengan sebaiknya bagi mendapatkan manfaat yang sebaiknya kepada masyarakat Islam.[2] Harta wakaf dianggap sebagai senjata yang paling penting bagi orang Islam semenjak beratus tahun yang silam yang tidak pernah digunakan.[3]


Di Malaysia dianggarkan jumlah tanah wakaf adalah sebanyak 20,735.61 ekar. Sebanyak 14,815.787 ekar merupakan wakaf Khas, manakala 5,919.83 ekar pula adalah wakaf Am.[4] Namun demikian, seperti juga institusi Islam yang lain, Zakat, Baitul Mal dan lain-lain, institusi wakaf tidak lagi berjaya dilaksanakan sepenuhnya bagi membawa umat Islam ke ambang pembangunan yang sepatutnya. Terdapat segelintir masyarakat Islam pada hari ini yang melihatnya dari skop yang sempit dan mempunyai pemahaman tradisional yang diwarisi sejak turun-temurun. Pelbagai cadangan dan saranan sama ada di peringkat kebangsaan dan antarabangsa telah dikemukakan, tetapi hasilnya wakaf tidak dapat diterjemahkan mengikut acuan dan persepsinya yang sebenar sebagai pemacu kemajuan ummah.[5]

Mentransformasikan Ekonomi Orang Melayu Melalui Mekanisme Wakaf

Berdasarkan kepada kedudukan ekonomi semasa orang Melayu, agak sukar dan sememang terlalu jauh untuk bersaing dengan bangsa lain atau bukan Bumiputera. Dasar Ekonomi Baru (DEB) tidak berjaya mencapai sasaran 30% pemilikan ekuiti orang Melayu. Bagi menyamai atau mencapai peratusan tersebut Bumiputera perlu melabur RM340 bilion.[6]  Persoalannya, bagaimanakah dalam keadaan ekonomi semasa hari ini orang Melayu dapat mencapai sasaran 30% pemilikan ekuiti atau lebih daripada itu di samping mampu bersaing dengan kaum-kaum lain di Malaysia? Selain itu bagaimanakah RM340 bilion mampu dihasilkan oleh orang Melayu dan mampu memiliki premis-premis, bangunan dan rumah kediaman setaraf dengan bangsa lain?

Jika dilihat kepada sejarah pada zaman kegemilangan pemerintahan khalifah Islam, antara faktor kekuatan dan keagungan kerajaan dan umat Islam pada era tersebut kekayaan hasil negara dan umat Islam. Pada zaman khalifah Harun al-Rasyid harta milik negara mencecah 900 juta Dirham, menyamai nilai semasa pada hari ini berjumlah sekitar 1.3 trilion Dirham.[7] Jika sekiranya sejarah kegemilangan ini berulang kembali, sudah pasti orang Melayu mampu berdiri setanding, bahkan lebih daripada kaum lain di Malaysia. Orang Melayu akan menguasai sebahagian besar ekuiti kekayaan dalam negara dengan memiliki segala premis dan kompleks perniagaan, tanah dan lain-lain.

Justeru, bagi memperkasakan ekonomi orang Melayu secara menyeluruh maka instrumen wakaf dilihat mampu menggembeling modal yang besar secara berkelompok. Dalam keadaan pemilikan aset negara yang terhad dan kuasa beli umat Islam yang rendah, maka beberapa mekanisme yang bersifat inovatif, kreatif dan proaktif perlu diwujudkan secara sistematik bagi menggalakkan dan memudahkan umat Islam berwakaf. Mekanisme yang diwujudkan ini mampu memberi ruang dan peluang kepada orang Melayu dan umat Islam seluruhnya untuk turut sama melibatkan diri sama ada secara pemilikan atau kuasa beli berdasarkan kepada kemampuan kewangan masing-masing. Institusi-institusi agama dan badan-badan Islam perlu memainkan peranan aktif bagi mewujudkan dana dan aset wakaf. Dalam melestarikan sistem wakaf semasa terdapat beberapa mekanisme atau pendekatan lama dan kontemporari yang cuba diketengahkan oleh beberapa institusi Islam sama ada yang diuruskan oleh pihak kerajaan atau badan-badan swasta. Antara mekanisme tersebut ialah melalui dana wakaf[8] yang boleh dilaksanakan dalam pelbagai bentuk seperti Saham Wakaf, Wakaf Kaki, Wakaf Irsad dan Musya‘, dan konsep Istibdal.

Majlis Agama Islam Sebagai Pemegang Amanah (MAIN)

Walaupun enakmen telah memperuntukkan kuasa kepada Majlis sebagai Pemegang Amanah Tunggal, namun terdapat beberapa masalah yang menghalang dan mengganggu gugat kelangsungan pembangunan tanah wakaf  yang berkait antara satu sama lain, terutama dalam urusan pentadbiran dan perundangan harta wakaf. Perubahan dan pembaharuan dalam usaha meningkatkan  prestasi mutu pentadbiran dan pengurusan amat diperlukan tanpa mengabaikan konsep kebajikan sosio ekonomi masyarakat Islam dan hukum syarak. Sebagai Pemegang Amanah atau badan yang menguruskan harta wakaf, tanggung jawab ini terletak di bahu MAIN sepenuhnya untuk melaksanakan secara dinamik dan  sejajar dengan kepentingan institusi wakaf sebagai instrumen yang paling efektif untuk menambahkan sumber pengagihan kekayaan masyarakat Islam.

Halangan dan Kekangan Dalam Pembangunan Tanah Wakaf di Malaysia
           
a. Masalah Perundangan dan Hukum

Peruntukan enakmen MAIN, perkara berkenaan dengan wakaf tidak diperuntukkan secara khusus seperti yang terdapat di negeri Selangor, Terengganu, Perak dan Johor.[1] Ekoran ketiadaan peruntukan ini terdapat pihak yang tidak bertanggung jawab menyalah gunakan harta wakaf  dengan anggapan ia adalah milik umum yang boleh dikuasai dan dicerobohi pada bila-bila masa dengan sewenang wenangnya. Biarpun sekarang ini perkara wakaf ditadbir di peringkat negeri dan telah ada diperuntukkan dalam setiap Enakmen Pentadbiran Negeri masing-masing, namun peruntukan wakaf dalam Enakmen tersebut tidak bersifat menyeluruh. Ia lebih menekankan aspek pentadbiran dan prosedur ringkas perwakafan. Aspek-aspek substantifnya tidak ditekankan, malah terdapat percanggahan dengan undang-undang wakaf Islam[2]. Misalnya dalam sekatan wakaf yang tidak boleh melebihi satu pertiga harta wakaf.[3]

Peruntukan ini juga tidak memberi jaminan dan pengiktirafan kuasa yang sepenuhnya terhadap pentadbiran dan pengurusan harta wakaf. Ini disebabkan oleh wujudnya sekatan dan halangan serta percanggahan bidang kuasa antara Badan Perundangan Negeri dengan bidang kuasa Persekutuan. Dengan mengekalkan undang-undang lama yang tersedia ada, implikasi yang  negatif akan timbul terhadap pembangunan harta wakaf. Bagi mengatasi masalah ini agar tidak berpanjangan, tindakan awal perlu dilakukan dengan membuat  pindaan dan meluluskan beberapa peraturan baru khusus berkaitan wakaf serta perlunya tafsiran yang lebih meluas terhadap beberapa seksyen yang terkandung di dalam enakmen negeri yang tersedia ada dan statut lain yang perlu dirujuk bersama. Antaranya seperti Akta Kanun Tanah Negara 1965 (Akta 56), Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), Akta Pemegang Amanah 1949 (Akta 208) dan Akta Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486).

Merujuk kepada beberapa peraturan yang diluluskan sejak bermula daripada tahun 1976 hingga kini, enakmen secara khusus berkaitan wakaf  dan peraturannya  belum diwujud kecuali bagi beberapa negeri. Oleh itu, perlunya beberapa peraturan penting berkaitan wakaf diluluskan selaras dengan peraturan lain agar pengurusan dan pentadbiran wakaf berjalan dengan lebih lancar dan praktikal. Antara lain, Akta Pemegang Amanah 1949 (Akta 208),[4] terlalu umum dan tidak menyediakan peraturan yang mencukupi untuk membicarakan harta amanah bagi orang-orang Islam.[5] Peraturan ini boleh dirujuk kepada beberapa enakmen negeri yang lebih terkehadapan dari sudut perkembangan wakaf. Antaranya seperti Enakmen Wakaf Selangor (No.7 Tahun 1999), Peraturan Kawalan Wakaf  Perak 1959, Kaedah-kaedah Wakaf Johor (No.15 Tahun 1983) dan Enakmen Mengesah Wakaf Orang-orang Islam Terengganu (No.10 Tahun 1972).

Antara perkara penting yang perlu dimuatkan adalah berkenaan dengan definisi wakaf, Kuasa MAIN sebagai pemegang amanah, perletakan hak wakaf, perlantikan para pegawai seperti Pegawai Wakaf  Negeri, pelantikan Nazir Wakaf Daerah, bidang kuasa pegawai, tugas nazir, prosedur pewakafan harta, syarat pewakaf dan penggunaan harta wakaf Wakaf Am dan Khas, sekatan dalam takat perwakafan, kuasa istibdal, pelaburan dan pembangunan harta tanah wakaf, pembatalan wakaf dan lain-lain yang diperlukan selaras dengan kehendak hukum syarak dan keperluan semasa.

Peruntukan undang-undang ini juga boleh dirujuk kepada negara-negara Islam lain yang terkehadapan dalam hal ehwal wakaf. Antaranya seperti Undang-undang Waqf 1952 di Mesir, Waqf Act 1954 di India, Prinsip Perundangan Waqf 1972 di Libya.  Begitu juga dengan Kementerian Keadilan dan Awqaf dan Urusan Agama di Oman, Nort American Islamic Trust di Amerika Syarikat, Kementerian Awqaf  di Jordan dan Kementerian Awqaf  dan Hal Ehwal Agama di Kuwait.[6] Kewujudan peraturan khusus ini dilihat sebagai suatu yang penting dan berkesan dalam mengawal dan menjaga kepentingan harta amanah orang-orang Islam.

Perundangan Tanah Negara

Prosedur penyerahan balik tanah kepada pihak kerajaan yang dilakukan di Pejabat Tanah untuk pengwartaan dan terpaksa dipohon semula oleh MAIN sebagai tanah rezab melalui permohonan khas adalah satu proses yang agak rumit dan memakan masa yang agak panjang. Oleh itu dicadangkan KTN memudahkan dan mempercepatkan urusan pendaftaran dengan mengenakan bayaran yang murah atau dikecualikan terus,[7] khusus bagi harta tanah wakaf. Pemberian tanah oleh kerajaan kepada MAIN hanya bertaraf rezab adalah menampakkan satu pertentangan antara hukum syarak[8] dengan Akta Kanun Tanah Negara 1965 (Akta 56)[9] dalam perkara pindak hak milik.. Akibatnya semua geran hak milik tanah wakaf tidak dapat diendoskan dengan “title” wakaf dan status wakaf dalam kes ini akan hilang. Kesahihan hukum pindah milik di sisi hukum syarak adalah bergantung kepada kesempurnaan rukun dan syarat wakaf. Oleh itu sepatutnya pemberian kerajaan ini adalah berstatus hak milik dan bukannya rezab, begitu juga dengan tanah wakaf yang diberikan secara pajakan mestilah ditukar kepada MAIN secara hak milik kekal.

Pemberian secara rezab ini adalah bagi mengelakkan daripada tanah wakaf tersebut dimiliki secara hak milik kekal sekiranya berlaku perubahan dalam struktur pentadbiran Majlis Agama Islam Negeri sama ada ia diswastakan atau sebagainya yang bersifat persendirian oleh pihak yang terlibat. Pengswastaan majlis tidak akan berlaku selagi  Enakmen MAIN memperuntukkan bahawa Sultan sebagai Ketua Agama Negeri. Status tanah wakaf perlu dikekalkan dan tidak boleh ditukar kepada mana-mana syarat yang lain terutama tanah wakaf untuk kegunaan masjid atau surau. Ini kerana harta wakaf terdedah kepada pengambilan balik tanah oleh Pihak Berkuasa Negeri untuk  tujuan keperluan awam dan pembangunan ekonomi negara. Walaupun Akta Pengambilan Balik Tanah 1960 (Akta 486)[10] telah dipinda oleh Akta Pengambilan Balik Tanah (Pindaan) 1997,[11] namun keadaan yang sama juga berlaku. Pihak Berkuasa Negeri masih boleh menimbangkan lagi permohonan pemohon dan membuat cadangan sebagaimana yang difikirkan patut.[12]

Dalam hal ini dicadangkan Pihak Berkuasa Negeri perlu membayar jumlah pampasan sebanyak nilaian tanah asal atau lebih tinggi daripadanya. Aset (pampasan) dimasukkan di bawah kategori “Waqf istibdal” dan menggantikan aset yang pertama. Segala hasil dan pendapatannya mestilah diaplikasikan kepada tujuan yang sama seperti yang ditentukan oleh pewakaf dan mengikut hukum pewakafan yang tidak membenarkan sebarang transaksi dilakukan ke atasnya iaitu tidak boleh dijual, dijadikan pemberian atau diwarisi.

Bayaran cukai ke atas tanah wakaf dan cukai pintu bagi bangunan yang diwakafkan tidak dikecualikan. Pengecualian cukai hanya diberi bagi sesuatu pegangan hak milik hanya berlaku pada tempat peribadatan, pengkebumian, sekolah awam, tempat awam yang digunakan untuk tujuan kebaikan. Pengecualian ini tertakluk kepada budi bicara Pihak Berkuasa Negeri.[13]

Maka mana-mana harta wakaf yang terlibat dengan pembangunan yang berbentuk material tidak akan mendapat keistimewaan pengecualian cukai. Pembayaran cukai ini membebankan MAIN untuk membangunkan tanah wakaf dengan projek pembangunan komersial. Oleh itu Seksyen 134 Akta Kerajaan Tempatan 1960 (Akta 171), perlu dipinda dengan mengecualikan cukai memandangkan hasil keuntungan yang diperoleh daripada harta wakaf adalah untuk diagihkan kepada kebajikan masyarakat Islam seluruhnya. Manakala bagi kes tanah yang ingin diwakafkan dan masih mempunyai tunggakan cukai sewa, Pengarah Negeri atau Pentadbir Tanah tidak akan meluluskan kecuali setelah semua tunggakan itu dijelaskan.[14] Dalam hal ini KTN perlu meluputkan tunggakan tersebut agar memudahkan dan menggalakkan orang Islam mewakafkan harta tanah mereka, lebih-lebih lagi bagi tanah yang berada di kawasan bandar dan lokasinya yang strategi.

Melihat kepada jenis kegunaan tanah wakaf yang diserahkan kepada MAIN kebanyakannya dikhusus untuk jenis tanah pertanian. Antaranya seperti jenis kegunaan dusun kelapa, sawah padi dan hanya sedikit sahaja untuk jenis pembangunan. Manakala saiz keluasan tanah wakaf adalah bersaiz kecil kurang daripada dua perlima hektar. Berdasarkan kepada Akta Kanun Tanah Negara 1965 (Akta 56)[15]melarang mana-mana tanah pertanian daripada dipecahkan sekiranya hasil daripada pecahan itu menjadikan keluasan lotnya kurang daripada dua perlima hektar. Jika ia dilakukan juga, geran yang berasingan tidak dapat dikeluarkan untuk tujuan pembangunan harta tanah wakaf.

Masalah ini akan lebih kritikal lagi kerana bahagian tanah wakaf  tersebut tidak dapat dipastikan keluasannya yang sebenar, walaupun pada hakikatnya ia dapat dikenal pasti secara persetujuan bersama antara pemilik tanah. Perkara ini dibimbangi akan berlakunya keluasan tanah yang dimiliki oleh tuan kongsi tanah, mengakibatkan saiz keluasan tanah wakaf  menjadi semakin sempit dan menghalangnya usaha untuk membangunkan tanah wakaf tersebut. Oleh itu pentingnya tanah wakaf itu dipecahkan milik bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku untuk jangka masa panjang. Adalah dicadangkan MAIN boleh mengambil alternatif dengan memohon pertukaran status kegunaan tanah pertanian kepada tapak  kediaman atau bangunan. Sekiranya urusan permohonan ini menyukarkan kepada pihak MAIN, pindaan mesti dilakukan kepada Seksyen 136 (1)(f)(i) KTN dengan memberi peruntukan yang khusus dalam perkara wakaf. Selain itu MAIN juga boleh mengistibdalkan tanah berkenaan dengan harta tanah di tempat yang lain.

Konflik Bidang Kuasa Mahkamah

Suatu perkara utama yang wajar diberi perhatian yang serius dari sudut perundangan ialah perkara mengenai Hal Ehwal Pentadbiran Agama Islam dan Undang-undang yang berkaitan dengan hukum syarak ditadbir di bawah negeri dan tidak di peringkat Persekutuan. Realiti yang berlaku adalah disebaliknya. Perkara wakaf walaupun dikategori dalam urusan agama, namun apabila wakaf dibuat melalui wasiat atau surat pemegang amanah ia terikat dengan Akta Pemegang Amanah 1949 (Akta 208),[16] maka beberapa elemen sivil dipertikaikan khususnya jika tanah itu tidak didaftarkan atas nama Majlis Agama Islam, isu kaveat ataupun pertikaian yang membabitkan orang bukan Islam. Dalam hal ini walaupun pada masa yang sama Mahkamah  Syariah berbidang kuasa mendengar kes terbabit, Mahkamah Sivil juga berkompeten untuk mendengar pertikaian berkenaan. Sesuatu fatwa mufti juga tidak mengikat keputusan mahkamah awam, bahkan mahkamah boleh untuk tidak mengambil kira fatwa tersebut. Implikasi daripada ini wujudnya pertindihan bidang kuasa antara Negeri dengan Persekutuan.

            Dalam kes Tengku Abdul Kadir Bin Tengku Chik lawan Majlis Agama Islam Kelantan,[17] Mahkamah Tinggi Kota Bharu mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan membuat pengisytiharan ke atas keputusan kes tersebut, manakala Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa mengisytiharkan sesuatu perintah yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Sivil atau lain-lain Mahkamah Sivil sebagai tidak sah walaupun sesuatu perintah itu tentang hukum syarak seperti wakaf dan lain-lain. Keputusan Mahkamah Tinggi Sivil adalah tidak muktamad dan boleh dipersoalkan lagi di peringkat Mahkamah Rayuan.[18] Oleh itu, apabila keputusan berpihak kepada M.A.I.K., Pihak Yang Menuntut mengemukakan kes ini ke Mahkamah Rayuan. Tambahan pula selepas perkara 121 Perlembagaan Malaysia dipinda, Mahkamah Awam mempunyai bidang kuasa membicarakan kes yang berkaitan dengan wakaf, hadhanah, harta sepencarian dan sebagainya. Dalam kes ini juga Mahkamah Tinggi Kota Bharu bertindak membatalkan Wakaf Khas keluarga, secara tidak langsung mengetepikan institusi mufti dengan tidak  merujuk terlebih dahulu kepada keputusan Jamaah Ulama Kelantan.
           
Hal yang sama juga dapat dilihat dalam penghakiman kes Commissioner of Religious Affairs Terengganu  lawan Tengku Maryam.[19] Di dalam kes ini Pihak Yang Menuntut telah memohon pengisytiharan daripada Mahkamah Tinggi Sivil bahawa wakaf  yang dibuat oleh Tengku Chik bin Abdul Rahim adalah tidak sah dan tidak berkesan kerana ia diperuntukkan untuk faedah keluarga pewakaf. Perkara ini telah dirujuk kepada Mufti Terengganu dan telah memutuskan bahawa wakaf yang dibuat oleh Tengku Chik adalah sah. Namun Hakim Mahkamah Tinggi telah memutuskan bahawa wakaf untuk keluarga selama-lamanya dan pemberian terakhir untuk kebajikan dianggap sebagai khayalan semata-mata (Illusory).

Dalam hal ini, Hakim Persekutuan Suffian mengatakan bahawa undang-undang Islam adalah undang-undang negeri dan adalah menjadi tugas Mahkamah Syariah menentukan undang-undang Islam. Sepatutnya mahkamah tidak semestinya menolak fatwa itu kerana ia melibatkan undang-undang negeri dan fatwa yang dikeluarkan adalah daripada pihak berkuasa tertinggi negeri iaitu KDYMM al-Sultan. Sebaliknya dalam menghakimi kes ini, Mahkamah Persekutuan lebih cenderung kepada keputusan Privy Council daripada menerima pandangan fatwa mufti sebagai autoriti yang mengikat.

            Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-negeri di Malaysia sebenarnya telah memperuntukkan kepada para Hakim di Mahkamah Sivil untuk merujuk sekiranya timbul sebarang persoalan berkaitan dengan hukum syarak kepada mufti dan mufti boleh memperakukan pendapatnya kepada mana-mana mahkamah berkenaan. Namun pandangan mufti tidak dapat mengikat keputusan mahkamah, malah mahkamah boleh sama ada untuk menerima atau menolak keputusan mufti tersebut.

Sementara dalam kes Isa bin Abdul Rahman dan lain-lain lawan Majlis Agama Islam Pulau Pinang,[20] peruntukan yang terdapat dalam undang-undang Pentadbiran Ugama Islam Pulau Pinang 1959 tidak memberi bidang kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk  mengeluarkan  perintah injuksi kepada responden. Perkara injuksi hanya diperuntukkan dalam Bahagian III Akta Relif Spesifik 1950 dan hanya diberikan kepada Mahkamah Tinggi Sivil sahaja. Dalam kes ini Hakim telah merujuk kepada Jawatankuasa Syariah Pulau Pinang kerana tidak menemui hukum dalam isu yang dipertikaikan iaitu sama ada cadangan membina pejabat Bank Islam di tingkat tiga yang terletak di bawah masjid itu dibolehkan di dalam Islam.

            Daripada beberapa kes yang dikemukakan ini menampakkan bahawa wujudnya kepincangan dan konflik dalam perundangan kerana campur tangan antara dua institusi kehakiman yang tidak dapat diselaraskan. Sepatutnya Mahkamah Syariah mestilah berbidang kuasa sepenuhnya dalam menentukan kesahihan sesuatu wakaf dan menentukan cara pentadbirannya.  Ini kerana perkara wakaf adalah berkait dengan  agama yang terletak di bawah bidang kuasa negeri. Sebarang keputusan Majlis Fatwa mestilah diambil kira kerana mereka lebih arif dalam soal penentuan hukum yang berkenaan dengan Agama Islam berbanding Mahkamah Sivil.

Bagi mengelakkan situasi ini berlarutan, pindaan perlu dibuat supaya wakaf dikecualikan daripada takrif amanah yang diperuntukkan dalam Akta berkenaan seperti Seksyen 4, Kanun Tanah Negara 1965 (Akta 56).[21] Ini kerana undang-undang wakaf perlu mempunyai matlamat dan objektifnya yang tersendiri dan tidak boleh disamakan dengan amanah (Trust) atau Undang-undang Amanah Kebajikan (Cheritable) yang merupakan akta koloni yang diadaptasi daripada undang-undang Inggeris dan diwarisi oleh pemerintahan Inggeris sejak sekian lama. Kewujudan akta-akta ini dilihat sebagai suatu yang amat penting dan berkesan dalam mengawal dan menjaga kepentingan mereka dalam pengumpulan harta bagi maksud individu maupun perbadanan (incorporation).[22]

Pindaan akta[23] dan penggubalan Enakmen Wakaf ini membolehkan sebarang kes yang berkait dengan wakaf atau wasiat akan dibicarakan di Mahkamah Syariah/ Qadi dan mahkamah ini berbidang kuasa sepenuhnya mengendalikan kes seperti yang berlaku di negeri Selangor setelah berkuat kuasanya dua Enakmen iaitu Enakmen Wakaf  Negeri Selangor 1999 dan Enakmen Wasiat Orang Islam Selangor 1999.[24] Sekiranya timbul keraguan atau ketidak puasan hati terhadap keputusan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Qadi, rayuan boleh dikemukakan di Mahkamah Tinggi Syariah dan fatwa yang dikeluarkan oleh mufti hendaklah mengikat keputusan hakim. Keputusan yang dibuat diperingkat rayuan adalah muktamad dan tidak boleh dipersoalkan lagi di mana-mana sama ada Mahkamah  Tinggi Sivil atau Mahkamah Rayuan seperti yang berlaku pada hari ini.[25]

            Ekoran daripada ketiadaan Akta atau Enakmen yang khusus berkenaan wakaf ini, seolah-olah ia terus memberi ruang kepada Mahkamah Tinggi Sivil untuk mempertahankan bidang kuasanya apabila berlaku pertikaian berhubung kewujudan atau kesahihan wakaf. Oleh itu sekiranya kita mahu institusi wakaf hidup subur di negara kita ini dan terhindar daripada sebarang kesamaran dan kekaburan, maka wajar suatu Akta atau enakmen yang lengkap dan menyeluruh perlu digubal secepat mungkin.[26]


Permasalahan Hukum

Hukum dan kategori harta wakaf juga menjadi faktor penghalang kepada usaha membangun dan memajukan harta wakaf.  Penggunaan harta tanah Baitulmal berbeza dengan tanah wakaf yang agak ketat dari sudut hukum dan ciri-ciri penggunaannya. Harta tanah Baitulmal agak terbuka penggunaannya di mana ia boleh dijual dan dibeli dan penggunaannya tidak terikat dengan apa-apa perjanjian atau Surat Cara yang diwasiatkan berbanding harta wakaf.[27] Maka segala rancangan pembangunan tanah wakaf adalah terikat dengan niat pewakaf. Contohnya terdapat banyak tanah yang diwakafkan untuk tujuan ibadat seperti masjid atau surau. Namun, amanah pewakaf ini tidak dapat direalisasikan kerana tidak sesuai untuk tujuan tersebut disebabkan oleh beberapa kemungkinan seperti di tempat berkenaan telah ada masjid yang berdekatan dengan lokasi tersebut.

Di Kelantan, wakaf ibadat antara yang terbanyak meliputi 70 peratus daripada keseluruhan keluasan tanah wakaf.[28] Biasanya harta Wakaf Khas tidak mendatangkan hasil kepada Majlis, bahkan MAIN terpaksa mengeluarkan perbelanjaan daripada sumber yang lain untuk membiayai penyelengaraan harta tanah tersebut yang terdiri daripada tanah kubur, tapak masjid dan tapak Sekolah Agama dan sebagainya yang berbentuk kebajikan umum. Sebagaimana juga di negeri Melaka terdapat sebanyak 1458.28 ekar, daripada jumlah tersebut 476.73 ekar adalah tanah tapak perkuburan.[29]

Harta Wakaf Am pula tidak disebut dengan jelas penggunaannya. Pewakaf hanya mensyaratkan supaya harta tersebut digunakan untuk tujuan kebajikan. Namun dalam hal ini ia perlu dirujuk kepada pihak mufti untuk merancang program pembangunan harta tanah wakaf. Permasalahan ini menyebabkan perancangan tidak dapat dilaksanakan dengan aktif. Kesamaran tujuan Wakaf Khas dibuat juga menimbulkan masalah akibat kegagalan pewakaf menjelaskan maksud dan tujuan wakaf dibuat. Situasi begini pada umumnya menyukarkan usaha MAIN untuk pembangunan dan pengawalan harta wakaf. Apa yang lebih dikhuatiri ialah cadangan pembangunan yang dilakukan oleh MAIN ke atas tanah tersebut bertentangan dengan tujuan dan niat pewakaf sebagai amanah yang perlu ditunaikan .


Masalah Pentadbiran dan Pengurusan

Bahagian Unit Wakaf adalah satu bahagian kecil yang digabung dengan Unit Baitulmal dan diterajui oleh beberapa orang Pegawai Agama di MAIN yang bertanggung jawab ke atas semua hal yang berkaitan dengan harta Baitulmal dan lain-lain urusan. Melihat kepada bidang tugas ini, sudah jelas menunjukkan bilangan kakitangan dan tenaga kerja yang menjalankan urusan wakaf amat terhad. Ini adalah faktor utama terbantutnya kelicinan perjalanan urusan wakaf. Situasi ini tidak mungkin dapat melaksanakan program dan perancangan dengan sempurna. Pegawai Baitulmal dan Wakaf terpaksa memikul semua beban tanggung jawab yang melibatkan dua institusi  yang agak besar, iaitu Baitulmal dan Wakaf pada satu masa. Jika dilihat kepada perkembangan antara dua institusi ini nampaknya MAIN lebih memberi keutamaan dan penumpuan kepada institusi Baitulmal. Kemungkinan disebabkan oleh beberapa faktor tertentu, institusi wakaf tidaklah begitu ketara peranan dan fungsi yang seharus dan sepatutnya dilaksanakan.[30]

Implikasi daripada penggabungan dua institusi ini secara tidak langsung bidang kuasa yang diperuntukkan kepada Unit Wakaf amat terhad dan terbatas. Pertindihan dua kerja yang dikendalikan oleh seorang pegawai menyempitkan lagi bidang kuasa Pegawai Wakaf. Permasalahan ini turut mempengaruhi kuasa pegawai dalam menentukan sebarang polisi dan keputusan pelaksanaan sesuatu projek pembangunan. Unit Wakaf terpaksa melalui beberapa proses yang agak rumit. Sebarang projek yang ingin dibangunkan mestilah terlebih dahulu mendapat persetujuan Mesyuarat Majlis dan mendapat perkenan KDYMM al-Sultan.

Apa yang jelas senario ketidak seimbangan ini akan mempengaruhi setiap aspek pentadbiran harta wakaf termasuk aspek pembangunan, kewangan, pendaftaran pindah milik, penyediaan data dan maklumat wakaf, pemantauan lokasi dan penyewaan tanah wakaf  dan lain-lain. Kesan negatif ini menyebabkan sesuatu tindakan yang diambil agak lembab dan sukar untuk bertindak.  Di kalangan para pegawai MAIN terdapat juga yang menjawat jawatan sementara atau sambilan. Jawatan ini diberi secara kontrak. Mereka ini kebanyakannya adalah terdiri daripada. Pertukaran pegawai ini menimbulkan kesan negatif terhadap pentadbiran dan pengurusan MAIN, khususnya dari aspek perancangan pembangunan harta wakaf. Fenomena ini bukan asing lagi berlaku di bawah pentadbiran MAIN. Malah terdapat juga pentadbir harta wakaf yang ada pada hari kebanyakannya terdiri daripada tenaga baru. Mereka ini mengambil alih tugasan pegawai terdahulu dan terpaksa menanggung bebanan kerja yang sama dan menghadapi permasalahan yang sama akibat tiadanya perubahan dan pembaharuan dalam pentadbiran dan pengurusan.

MAIN juga mengalami masalah kekurangan kakitangan yang mahir dalam bidang pembangunan, lebih-lebih lagi yang mempunyai pengalaman sebagai eksekutif korporat dan berjiwa keusahawan. Sistem korporat yang dirancang tidak menepati sasaran kerana kakitangannya tidak banyak didedahkan dengan latihan dan kursus pemantapan pentadbiran yang cekap. Bagi menyelesaikan permasalahan yang di hadapi oleh MAIN, kini telah tiba masanya rombakan dalam struktur organisasi pentadbiran dan penyusunan semula mesti dilakukan dengan melihat kepada jumlah keluasan harta tanah wakaf yang berada di bawah kawalan MAIN dan bebanan tanggung jawab yang terpaksa dipikul oleh para pegawai.

Antara langkah awal yang perlu diambil ialah melakukan reformasi dalam pentadbiran dengan memisahkan antara Unit Wakaf dengan Baitumal dan kedua-dua unit ini perlu ditadbir secara berasingan. Hasil daripada pengasingan ini sudah tentu menyenangkan pihak MAIN untuk memberi tumpuan yang lebih serius dan spesifik terhadap pengurusan harta wakaf. Malah perubahan ini dilihat sebagai usaha positif yang bertujuan untuk membawa pembaharuan terhadap sistem pentadbiran MAIN agar dapat dikemaskinikan dan berupaya melaksanakan tugas secara lebih komprehensif dan kompetitif terutama dalam membangun harta wakaf.

Strategi dasar pembaharuan pengurusan ini boleh dicadangkan kepada dua strategi jangka pendek dan juga jangka panjang. Sekiranya cadangan ke arah pembentukan Jabatan Baitulmal dan Wakaf Negeri dikatakan masih terlalu awal dan terpaksa melalui beberapa prosedur yang agak rumit, maka pihak MAIN perlu mengemaskinikan bahagian wakaf yang tersedia ada. Melalui strategi ini Unit Wakaf tetap dikekalkan di bawah Unit Baitulmal, tetapi bidang tugas antara dua unit ini perlu diasingkan, sekaligus para pegawai yang mengendalikan kedua-dua unit ini berjalan  secara  berasingan.

            Unit Wakaf hendaklah dikendalikan oleh seorang Pegawai Eksekutif yang berjawatan tinggi dan dibantu oleh beberapa orang pegawai serta dibantu oleh penolong pegawai tadbir lain. Kakitangan yang diperlukan bagi menggerakkan dan melaksanakan tugas-tugas khas antaranya ialah Pegawai Ekonomi, Pegawai Perancang dan Pembangunan, Panel  Perundangan Syariah, Juruaudit, Jurutera dan Arkitek, Akauntan, Jurukur dan pegawai lain yang diperlukan dari semasa ke semasa.

Pegawai Eksekutif yang mengetuai unit wakaf dicadangkan seorang yang bersifat keusahawanan yang mampu mentadbir harta wakaf secara ala perniagaan supaya harta wakaf dapat dibangunkan dengan lebih ekonomik, tidak membazir dan menepati matlamat sebenar kewujudan harta wakaf untuk kepentingan umat Islam. Adalah lebih baik sekiranya Pegawai Eksekutif dilantik daripada kalangan mereka yang berpengalaman dalam perancangan pembangunan harta tanah dan mempunyai fikiran terbuka, di samping mempunyai identiti keislaman. Kombinasi antara pegawai profesional yang berstatus korporat dengan dibantu oleh pakar penyelidikan yang mengkaji dari aspek hukum fiqh dan perundangan membolehkan unit wakaf  mampu membuat perancangan yang lebih berkesan dan perancangan akan  menjurus kepada satu bentuk pengurusan yang mempunyai arah tuju yang sama. Masalah percanggahan hukum dan perundangan dalam sebarang tindakan yang  diambil tidak akan timbul lagi.

Selaras dengan objektif  bagi memastikan peningkatan prestasi mutu kerja dan keberkesanannya, pihak MAIN perlu mendedahkan para pegawai dan kakitangannya dengan latihan intensif berbentuk kursus atau seminar pemantapan pengurusan dan pentadbiran wakaf secara berterusan. Langkah ini diambil agar mereka lebih profesional dalam bidang masing-masing dan peka terhadap permasalahan semasa yang di hadapi oleh MAIN.

Pengesyoran penambahan kakitangan tidak semestinya dilakukan secara serentak. MAIN boleh mengambil tenaga kerja secara berperingkat-peringkat dengan melihat kepada keperluan semasa. Namun begitu para pegawai yang tersedia ada yang bertaraf sementara perlu dinaikkan tarafnya sebagai pegawai tetap sejajar dengan peranan yang dimainkan oleh Majlis dan beban tugasnya pada masa hadapan. Jawatan yang dianggap penting pada masa ini antaranya seperti pengambilan tenaga kerja untuk menjalankan urusan pungutan hasil sewa, mengemas kini fail wakaf dan merekod maklumat, Pegawai Penempatan,  Pegawai Penyelidik dan Perunding dan lain-lain yang dianggap penting. Mereka ini tidak semestinya diambil sebagai pekerja tetap, malahan secara kontrak sehingga sampai ke suatu masa MAIN memerlukan perkhidmatan berjawatan tetap dengan melihat kepada kemampuan kewangan dan keuntungan yang  memberangsangkan hasil daripada gerak kerja mereka. Tindakan ini secara tidak langsung dapat mengatasi kekurangan tenaga kerja dan pertindihan tugas tanpa terikat atau menunggu arahan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam soal peraturan dan pembayaran gaji kakitangan.

            Cadangan strategi jangka panjang pula, dalam usaha untuk melihat pentadbiran wakaf lebih maju dan dapat menyaingi institusi yang lain, maka MAIN perlu melangkah jauh ke hadapan dengan merubah keseluruhan dasar polisi dan jentera pentadbiran yang sedia ada, khususnya dalam pentadbiran Unit Wakaf dan Baitulmal. Walaupun dari segi kaca mata dan pandangan umum menampakkan ia suatu tindakan pelaksanaan yang agak rumit yang memerlukan tempoh masa yang panjang dan terpaksa melalui beberapa prosedur yang perlu dikaji secara terperinci, namun tidak mustahil suatu hari  nanti ia dapat dilaksanakan dengan jaya dan sokongan daripada pelbagai pihak amat diperlukan.

Usaha ini dilakukan dengan menubuhkan jabatan khas atau dinamakan Jabatan Baitulmal dan Wakaf  Negeri. Jabatan Baitulmal dan Wakaf dijadikan satu badan berkanun yang mempunyai kuasanya yang tersendiri. Jabatan ini diketuai oleh Pegawai Eksekutif yang merangkap sebagai Pengarah dan dipangku oleh Timbalan Pengarah serta dibantu oleh beberapa orang pegawai tadbir yang menerajui bahagian utama seperti Pegawai Ekonomi, Pegawai Pembangunan dan Pelaburan, Pegawai Penyelidikan, Kajian dan Perancang, Pegawai Penguatkuasa, Pegawai Kutipan dan Agihan dan lain-lain. Implikasi daripada rombakan ini, bidang kuasa yang diperuntukkan amat luas dan sebarang keputusan Jawatankuasa Wakaf dapat diputuskan secara muktamad tanpa terikat atau dikongkong oleh mana-mana pihak. Panel penggubal adalah terdiri daripada Ahli Lembaga Pengarah Wakaf dan bukan lagi bersifat sebagai pelaksana polisi sebagaimana yang ada pada hari ini. Bidang kuasanya adalah setaraf dengan Jabatan Agama Islam dan Majlis Agama Islam. Ini bermakna Jabatan Baitumal dan Wakaf negeri tidak diletakkan di bawah pentadbiran Majlis Agama Islam.
            Polisi ini tidak bermakna menafikan sama sekali kuasa yang ada pada Majlis Agama Islam atau mengetepikan langsung keputusan yang dikemukakan oleh Majlis. Namun fungsi Majlis berperanan sebagai Penasihat, merangkap Pengerusi kepada sebarang cadangan pembangunan yang ingin dilaksana oleh Jabatan Baitulmal dan Wakaf.  Ahli Jawatankuasanya adalah terdiri daripada beberapa orang Anggota Majlis, Ahli Dewan Ulama, ahli akademi dan beberapa orang awam yang dikenali dan dihormati dalam masyarakat. Jika cadangan penstrukturan ini diterima oleh Majlis, ruang pejabat dan susun atur pejabat hendaklah turut sama disusun semula, berbanding dengan ruang pejabat yang ada sekarang ini agak sempit. Sebuah bilik fail perlu disediakan dan dilengkapi dengan rak atau kabinet yang sesuai dan selesa dipandang.


Pegangan dan Pengkalan Data Tanah Wakaf

Seperti yang sedia maklum, berdasarkan kepada kajian-kajian lepas menunjukkan bahawa rekod dan dokumentasi tanah-tanah wakaf di Malaysia adalah antara isu dan masalah utama sebagai faktor penyumbang kepada kegagalan tanah wakaf untuk didaftar dan dibangunkan.[31] Sebagai contoh terdapat sebanyak 2,477 Lot tanah yang diwakafkan di bawah MAIJ, namun 70% daripadanya iaitu 1,734 Lot sahaja yang direkod. Manakala 30% lagi masih tidak direkod dan belum ditukar milik dan tidak diketahui dengan sebenar lokasi, perletakan, keluasan tanah dan lain-lain. Keadaan yang sama juga berlaku di negeri-negeri lain seperti di Melaka, Kedah dan Terengganu.[32]

Di Malaysia terdapat banyak tapak masjid, surau dan kubur yang dibina di atas tanah kerajaan dan belum dipindahmilik kepada MAIN.[33] Terdapat tanah wakaf yang mempunyai data maklumat yang kabur dan belum didaftarkan sepenuhnya di dalam buku Pendaftaran Tanah Wakaf bagi semua jajahan di negeri Kelantan. Malahan terdapat kedudukan lot-lot tanah yang tidak diketahui secara jelas. Sesetengahnya pula tidak mempunyai maklumat berekod yang lengkap dan bersistematik. Ini berikutan kebanyakan tanah yang diwakafkan suatu ketika dahulu dibuat secara lisan atau bermulut.  Sesetengah Surat Cara Wakaf tidak dapat dibaca kerana telah kabur dan tempoh masa yang terlalu lama serta ditulis dalam tulisan jawi  lama. Oleh itu, jumlah sebenar keluasan tanah wakaf  di Kelantan hingga kini tidak dapat ditaksir dengan tepat.

Terdapat juga tanah Wakaf Khas yang belum diproses dan dipindah milik kepada MAIN dan tidak didaftar di pejabat Tanah sebagai tanah rezab kerajaan, khususnya tanah wakaf masjid dan tanah perkuburan. Tanah-tanah ini ditadbir secara persendirian oleh pemegang amanah masing-masing yang sukar dikesan dan ditentukan jenis-jenisnya. Keadaan ini mendatangkan masalah semasa pembayaran cukai tanah. MAIN hanya mengetahui apabila adanya laporan daripada pihak yang prihatin tentang kemulian harta wakaf seperti Imam Masjid, Ketua Kampung dan sebagainya. Perkara ini berbangkit apabila berlakunya pertelingkahan dengan pihak yang berkepentingan.

Ekoran daripada timbulnya permasalahan yang disebutkan ini akan wujudnya tuntutan daripada ahli waris ke atas tanah wakaf yang tidak mempunyai rekod penyerahan melalui surat tuntutan atau melalui peruntukan undang-undang mahkamah. Justeru itu Majlis terpaksa mengeluarkan kos perbelanjaan yang tinggi  untuk membela hak Majlis sebagai Badan Pengawal. Proses perundangan ini biasanya memakan masa yang lama. Kesannya, perancangan pembangunan harta tanah tidak dapat berjalan dengan lancar sehingga pertikaian dapat diselesaikan. Kebanyakan tanah-tanah  yang terlibat adalah mempunyai kadar nilaian harga yang tinggi dan terdapat permintaan yang tinggi daripada pembeli. Ciri-ciri tanah ini mempunyai nilai ekonomi dan berpotensi untuk tujuan pembangunan.

Sebagai strategi awal penekanan kepada usaha drastik terhadap pengemas kinian data bagi mengenal pasti kedudukan harta wakaf secara terperinci terutama dari segi kesahihan harta wakaf, lokasi dan wasiat pewakaf serta tindakan pendaftaran harta wakaf melalui proses pindah hak milik perlu dilaksanakan. Akibat daripada kelemahan ini pelbagai masalah telah timbul dalam pentadbiran dan pengurusan harta wakaf  MAIN. Kajian dan penyelidikan semula serta siatan dari semasa ke semasa perlu dijalankan ke atas keseluruhan tanah wakaf di bawah kawalan MAIN Perubahan dan pembaharuan dalam sistem data pengumpulan harta wakaf mesti dilakukan sejajar dengan ledakan arus perkembangan dunia teknologi maklumat berkomputer masa kini. Maklumat harta wakaf yang terkandung dalam dokumen bertulis yang agak lama tidak sesuai lagi dijadikan sumber rujukan kerana ia melengahkan usaha untuk meneliti setiap timbunan fail yang mengambil masa yang panjang.

            Keseluruhan harta wakaf perlu dikemaskinikan di dalam sistem pengisian maklumat berkomputer atau dikenali sebagai bank data. Segala maklumat seperti butir-butir pewakaf, jenis wakaf, lokasi, keluasan, nombor lot tanah, nombor pendaftaran, kegunaan tanah wakaf, nama penyewa, kadar sewa, jumlah pungutan dan tunggakan sewa serta lain-lain maklumat yang diperlukan diisi dengan lengkap dan sempurna mengikut daerah. Antara keistimewaan sistem ini ialah ia mudah diurus, bersistematik dan paling cekap serta pantas bagi tujuan pentadbiran.

Selain itu ia menjimatkan kos kewangan, pembaziran masa dan tenaga kerja sekaligus berupaya menyelesaikan masalah kekurangan kakitangan, masalah kekaburan harta wakaf, pungutan sewa, tunggakan sewa dan lain-lain lagi. Data-data yang telah dikemaskini berupaya memberikan gambaran yang jelas tentang kedudukan semasa pembangunan harta wakaf dan meningkatkan mutu kerja, prestasi pembangunan dan analisis kemajuan dari segi ekonomi.

            Berdasarkan maklumat yang lengkap, MAIN secara tidak langsung dapat menyediakan laporan kewangan dan perancangan pembangunan serta aktiviti semasa dengan sempurna. Seterusnya dapat menerbitkan laporan rasmi tahunan yang lengkap dan terperinci. Selain laporan tahunan dapat menerbitkan laporan bulanan dan diedar kepada orang ramai untuk pengetahuan mereka tentang perkembangan kemajuan pengurusan MAIN. Ini kerana maklumat yang disampaikan kepada masyarakat amat penting. Segala kemajuan dan kejayaan MAIN akan menarik minat lebih ramai penyertaan awam untuk terlibat sama dalam membantu MAIN meningkatkan sumber ekonomi. Seterusnya meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap kredibiliti MAIN sebagai badan yang menguruskan harta wasiat umat  Islam. Fail-fail wakaf hendaklah dikemaskini dari semasa ke semasa termasuk cara peletakan nombor fail dan penyusunan fail di atas rak atau di dalam kabinet. Tujuannya supaya fail dapat diperoleh dengan mudah apabila dikehendaki. Setiap pergerakan fail hendaklah direkod.

Masalah Pembangunan Harta Tanah Wakaf

Berdasarkan kepada hasil pembangunan yang dijalankan oleh MAIN di beberapa buah negeri sehingga ke hari ini tidak menampakkan hasil kejayaan yang boleh dibanggakan, malah masih kekal berada pada takuk dan tahap yang sama. Jika keadaan ini berterusan, maka ia di anggap menyimpang daripada objektif Unit Wakaf dan Baitulmal iaitu mengembang dan meluaskan harta wakaf dalam negeri ini dengan memperkemaskan dan menyusun semula sistem pentadbiran dengan lebih sempurna mengikut keperluan semasa dan tidak bercanggah dengan hukum syarak.

            MAIN tidak mempunyai suatu polisi atau program rancangan pembangunan sama ada rancangan jangka pendek maupun jangka panjang untuk membangun tanah wakaf. Sehingga kini tidak ada projek komersial yang mampu menjana ekonomi yang mantap. Hasil daripada kajian mendapati bahawa agenda pembangunan di bawah Unit Pelaburan dan Pembangunan sebahagian besarnya adalah tertumpu kepada penyewaan tanah wakaf kepada golongan yang kurang mampu bagi membina rumah kediaman sementara.

            Apa yang jelas isu pembangunan harta tanah wakaf ini tidak dieksploitasikan kepada masyarakat umum yang bertindak sebagai rakan kongsi kepada MAIN. Maklumat ini tidak disebarkan. Melalui laporan ini sebarang kajian perbandingan dan analisis tentang indek prestasi kegiatan pembangunan ekonomi MAIN dapat ketahui dengan mudah. Terdapat banyak agenda pembangunan yang dirancang oleh MAIN namun ia belum menjadi kenyataan.

            Tanah Wakaf Khas saraan masjid, surau, kubur dan sekolah agama rakyat boleh dimajukan juga, tetapi ia bergantung kepada kebijaksanaan Ahli Jawatankuasa masjid berkenaan untuk membangunkannya. Ia  boleh dibangunkan dengan pembinaan rumah atau kedai sewaan. Namun permasalahan kurangnya pengalaman AJK masjid mengurus tanah wakaf, di samping masalah kewangan dan lain-lain, akhirnya tanah terbiar begitu sahaja.

Bagi membangunkan tanah-tanah wakaf ini, pihak MAIN boleh mengambil inisiatif dengan membina rumah-rumah kediaman kos rendah khususnya bagi penghuni yang sekian lama tinggal di atas tanah wakaf sebelum ini.  MAIN boleh mengenakan kadar sewaan yang lebih tinggi daripada kadar sewa tapak tanah wakaf sebelum ini. Kadar sewa ini adalah berdasarkan kepada status penyewaan rumah dan bukan lagi penyewaan tanah. Kadar sewa adalah lebih tinggi bersesuaian dengan kemampuan mereka menduduki kediaman yang lebih selesa dan kemudahan infrastruktur yang lain turut disediakan.


Penyertaan Awam

Bagi merealisasikan segala perancangan pembangunan, MAIN memerlukan kepada sokongan dan penyertaan awam sama ada daripada badan swasta atau badan kerajaan. Berdasarkan kepada kewangan dan keupayaan yang ada, badan ini tidak mampu untuk melaksanakannya secara sendirian tanpa bantuan agensi luar yang mempunyai dana modal yang kukuh. Antara saluran terbaik untuk mengatasi masalah ini konsep pengswastaan dan usaha sama boleh dilakukan, di mana MAIN boleh mengadakan satu ikatan kontrak dengan pemaju untuk beberapa tempoh tertentu yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak. Melalui  konsep ini MAIN boleh membuat pilihan sama ada modal dibiayai sepenuhnya oleh pihak pemaju tanpa melibatkan cagaran dan gadaian harta tanah, atau dikongsi modal bersama berasaskan konsep usaha sama. Pulangan hasil akan diperoleh oleh pihak MAIN untuk jangka masa yang panjang bergantung kepada tempoh yang disepakati. Setelah tamatnya tempoh tersebut, bangunan atau kediaman itu akan dimiliki hak sepenuhnya oleh MAIN. Pembinaan bangunan melalui cara ini amat digalakkan dan lebih menguntungkan daripada tanah wakaf berada dalam keadaan terbiar menunggu masa dan ketika untuk dibangunkan.

           
Halangan Fizikal

Dalam rancangan untuk membangun tanah wakaf melalui projek pembangunan, pertanian dan penempatan memerlukan keluasan tanah dan lokasi yang strategi. Bagi memenuhi kretaria ini MAIN menghadapi masalah kerana banyak tanah yang diwakafkan terdiri daripada lot-lot tanah yang kecil dan kedudukan lokasinya yang berjauhan dari kawasan bandar dan berselerak. Tidak kurang juga tanah-tanah ini tidak berpotensi dan tidak berdaya maju serta tidak produktif untuk dibangunkan dalam tempoh yang terdekat ini. Akibatnya tanah berkenaan terbiar begitu sahaja tanpa dapat memberi apa-apa pulangan kepada MAIN, lebih-lebih lagi kepada umat Islam seluruhnya.

Bagi mengatasi masalah ini,  MAIN perlu melaksanakan konsep istibdal yang boleh dilaksanakan melalui tiga bentuk. Antaranya dengan tukaran, belian atau jualan. Konsep pembelian semula tanah wakaf boleh dilaksanakan melalui penjualan tanah wakaf yang tidak mempunyai nilai ekonomi dan tidak berdaya maju atau yang bersaiz kecil kepada pihak lain. Hasil daripada penjualan tersebut disalurkan untuk membeli tanah lain  sebagai ganti tanah wakaf  yang  mempunyai ciri-ciri tanah yang berdaya maju dan dijangka memberi pulangan hasil keuntungan yang berlipat ganda. Dalam melaksana konsep ini beberapa aspek utama perlu diambil kira terutamanya dari aspek hukum syarak, pembangunan semula, faedah kepada pemegang amanah dan cucu cicit pewakaf. Nilaian dan saiz keluasan tanah yang hendak diganti tidak boleh kurang daripada kadar nilaian pasaran semasa dan keluasannya tidak kurang daripada keluasan tanah yang asal. Selain itu, pembelinya adalah disyaratkan seorang Islam. MAIN boleh menggantikan melalui pembelian tanah yang berada di kawasan pusat Bandar lebih strategi dan menjadi tumpuan ramai.

Konsep ini tidak boleh dipakai bagi tanah Wakaf Khas yang diwasiatkan secara khusus untuk tapak pembinaan masjid, surau atau tanah perkuburan, kecuali lokasinya berdekatan ataupun berada di dalam kawasan yang sama dengan tanah wakaf yang asal sebagai gantian. Bagi tanah Waqf Dhurri atau tanah yang diwakafkan kepada cucu cicit perlulah mendapatkan  kebenaran dan pandangan daripada pewaris yang berhak kerana mereka juga mempunyai kepentingan terhadap tanah tersebut. Sekiranya terdapat tanah wakaf kubur atau masjid serta surau yang mempunyai keluasan yang besar dan belum dibangunkan, M.A.I.K. boleh mengganti atau menjualnya berdasarkan keharusan mengikut pandangan mazhab Hanbali. Tanah jenis ini adalah menjadi pilihan yang terakhir dalam konsep istibdal, bergantung kepada keadaan dan kepentingan umum jika perlu.


Masalah Kesedaran Sosial dan Kemasyarakatan

Pemahaman tentang hak dan tanggungjawab terhadap harta amanah kurang diberi perhatian oleh masyarakat pada hari ini. Terdapat di kalangan mereka yang menyewa tanah-tanah wakaf dikategorikan tidak layak menduduki tanah wakaf kerana mereka bukan terdiri daripada golongan miskin. Kedapatan juga tanah wakaf yang dijual oleh anak-anak penyewa asal kepada pihak ketiga tanpa menukar nama pemilik dan di luar pengetahuan MAIN  dengan harga yang tinggi. Pihak pertama (penyewa asal) yang mendiami tanah tersebut telah lama meninggal dunia dan diwarisi oleh waris atau isteri atau anak. Ada juga tanah wakaf yang dijual dan ditukar nama secara sah walaupun tiada surat perjanjian.

          Terdapat juga harta tanah yang diwakaf oleh pewakaf melibatkan tanah yang tidak mempunyai nilai ekonomi. Andaian boleh dibuat bahawa pewakafan harta oleh mereka ini adalah untuk mengelakkan cukai tanah atau tanah tersebut tidak mendatangkan  apa-apa manfaat kepada pemilik, sama ada untuk pertanian atau pembangunan lain. Begitu juga dengan mentaliti umat Islam yang hanya berpegang bahawa sedekah jariah (wakaf) hanya berlegar pada masjid atau surau sahaja. Bagi mengatasi masalah ini agar tidak berlarutan dan berpanjangan, kefahaman yang mendalam perlu diketengahkan kepada masyarakat perihal kepentingan harta wakaf untuk dimanfaatkan bersama-sama oleh seluruh umat Islam khususnya kepada mereka yang berhak menikmatinya. Kepentingan umum perlu diutamakan daripada kepentingan peribadi.
           

Selain itu, kesedaran tentang kepentingan harta wakaf untuk kegunaan ummah keseluruhannya perlu ditingkatkan lagi. Masyarakat sekeliling juga perlu bertindak dan prihatin terhadap tanggung jawab memelihara amanah harta wakaf dengan membuat laporan segera kepada MAIN jika ada sebarang pencerobohan yang berlaku ke atas tanah wakaf. Sikap mementingkan diri sendiri tidak akan mencapai konsep keadilan hidup bermasyarakat dan perancangan pembangunan tanah wakaf tidak akan menjadi kenyataan selagi sikap negatif ini tidak diubah.

            MAIN juga perlu menggalakkan lagi masyarakat mewakafkan harta lebihan mereka untuk memperbanyakan lagi keluasan tanah wakaf di Kelantan, khususnya tanah Wakaf Am. Tanah yang hendak diwakafkan itu adalah daripada jenis yang mempunyai nilai ekonomi dan strategi serta berdaya maju untuk dibangunkan pada masa sekarang dan bukannya mewakafkan lebihan harta yang tidak diingini serta tidak berkeupayaan untuk dibangunkan atas sebab-sebab seperti yang disebutkan sebelum ini.


Nilaian Kadar Sewa

Isu berkaitan kadar dan nilaian sewaan tanah wakaf/ premis yang terlalu rendah telah diperkatakan agak sekian lama. Permasalahan yang berkait dengan kadar sewa yang terlalu rendah berbanding nilaian semasa bagi harta tanah wakaf adalah antara masalah yang agak ketara, khususnya bagi penyewaan tapak tanah kediaman. Dasar pemberian sewaan tanah ini telah lama diamalkan sejak dahulu lagi. Walaupun MAIN telah menjadi pengawal harta wakaf, namun sebelum ini tidak ada prosedur yang sistematik telah dilaksanakan bagi mengatasi permasalahan ini. Cadangan untuk menaikkan kadar sewa tanah wakaf milik MAIN turut menimbulkan rasa ketidakpuasan hati di kalangan penyewa biarpun kadar yang disewa sebelum ini jauh lebih rendah daripada harga nilaian semasa.

Antaranya kajian yang dibuat oleh Kamarudin Ngah boleh dijadikan ukuran dan indeks kadar sewaan tanah wakaf di Malaysia. Sebagai contoh di Bandar Melaka sewa tanah wakaf adalah antara RM1.00 hingga RM14.00 sebulan. Manakala kadar sewaan tanah dan rumah kedai adalah antara RM17.75 sehingga RM430.00 sebulan. Di negeri Perak hampir ke semua tanah yang disewa pada akhir dan awal kurun ke-19 dikenakan sewaan pada kadar RM1.00 sebulan untuk tempoh 99 tahun. Bagi tanah yang disewa antara tahun 1964 dan 1965 dengan tempoh 66 tahun, kadar sewaannya adalah sebanyak RM10.00 sebulan. Secara umumnya kadar sewaan ini amat rendah terutama tanah wakaf yang berada di pusat bandar berbanding dengan kadar sewaan semasa. Situasi ini akan mempengaruhi pendapatan Majlis Agama Islam Negeri yang amat rendah.[34]

Di negeri Melaka, MAIM juga berhadapan dengan masalah penyewa yang enggan menerima skim baru tarif sewaan tanah dan premis wakaf yang mereka duduki. Keadaan ini menyukarkan MAIM untuk membuat penyusunan semula tarif sewaan premis dan tanah wakaf miliknya.[35] Lebih menyukarkan apabila tanah dan premis tersebut disewa sebelum merdeka dengan kadar nilaian sewa yang terlalu murah. Contohnya rumah kedai di Lot 2 Jalan Hang Kasturi sebanyak RM108 sebulan atau RM1296 setahun dan di Lot 331 Jalan Kampung Kuli disewa dengan kadar RM30.00 sebulan atau RM360.00 setahun.[36] Di negeri Kelantan, Bagi sewa harta tanah wakaf, Majlis telah menetapkan kadar sewa iaitu bagi setiap keluasan 1600 kaki persegi bernilai RM 80.00 setahun (RM 6.66 sebulan). Kadar nilai harga sewa ini adalah merangkumi sama ada  tanah wakaf yang berada di kawasan bandar atau di luar bandar.

Di bandar Kota Bharu, misalnya kadar sewa bagi kebanyakan tapak kediaman adalah antara RM 1.00 hingga RM 10.00 sebulan.  Bagi Lot 12, Mukim Kedai Buluh kadar sewanya adalah RM 2.08 sebulan dengan keluasan 1 ekar 467 depa yang didiami seramai 18 orang penyewa. Begitu juga dengan Lot 174  Seksyen 1, Lot 32  Seksyen 4,  Lot 145 Seksyen 4 dan  Lot 266 Seksyen 28, purata kadar sewanya adalah RM 5.00 sebulan. Lot-lot tersebut agak luas melebihi 13 ekar dengan jumlah bilangan penyewa seramai 86 orang. Terdapat juga beberapa Lot lain di bandar Kota Bharu yang disewa dengan kadar yang begitu rendah,  antaranya Lot 112 Seksyen 3, kadar sewanya adalah antara RM 5.00 hingga RM 10.00 sebulan. Bagi kadar sewa di luar jajahan Kota Bharu pula, kadar sewanya adalah sama sebagaimana di kawasan bandar. Antaranya Lot 922, di Mukim Kasar Pasir Mas, kadar sewanya adalah rendah iaitu RM 1.00 sebulan dengan keluasan 1 ekar 225 depa, dan didiami seramai 12 orang penghuni.[37]

Masalah Kewangan

Dalam menangani isu ini adalah tidak adil sekira kita meletakkan kesalahan sepenuhnya di atas bahu MAIN yang satu-satunya badan yang menjaga kepentingan Agama Islam dan orang Melayu yang sentiasa dikaitkan dengan isu kemiskinan dan kemunduran dari sudut pembangunan. Usaha pengembelingan tenaga daripada semua pihak dan rasa tanggung jawab melahir kesedaran ta‘awun perlu wujud bagi menambahkan dana perbendaharaan Islam untuk membangunkan tanah wakaf  secara efektif dan produktif, sekaligus meningkatkan kualiti taraf hidup dan sosio ekonomi orang Melayu yang menjadi kaum majoriti di negeri Kelantan dan penghuni tanah wakaf.

             Melihat kepada deraf rancangan pembangunan harta wakaf,  MAIN mampu memperoleh sumber kewangan yang besar sekiranya pelan rancangan ini menjadi sebuah kenyataan. Oleh itu sumber modal menjadi isu polemik yang mesti diberi keutamaan. Dasar penubuhan beberapa institusi kewangan Islam dan konvensional yang mengamalkan sistem Islam di Malaysia membuka ruang yang luas untuk membantu badan tertentu atau orang perseorangan meningkatkan sumber pendapatan melalui kaedah pinjaman tanpa riba yang dihalalkan.


            Oleh itu selaras dengan objektif penubuhan institusi ini MAIN boleh mendapat kemudahan pinjaman modal bagi tujuan pembangunan harta wakaf. Institusi kewangan dan badan yang terbabit perlu bekerja sama dan menyedari bahawa hanya MAIN sahaja yang berusaha merancang pembangunan harta tanah wakaf bagi kepentingan Agama Islam dan orang Melayu di Malaysia. Proses pinjaman ini perlu dipermudahkan dalam tempoh jangka masa yang singkat dan beberapa pengecualian lain serta kelonggaran perlu diberikan keutamaan kepada MAIN. Antaranya bentuk bayaran pinjaman tidak terikat dengan masa yang terlalu singkat dan cagaran lain diketepikan seperti yang disyaratkan dalam mana-mana pinjaman. Ini kerana harta wakaf tidak boleh dijadikan cagaran kepada mana-mana pihak.
           
         
            Usaha untuk meningkatkan nilai dan kemasukan aliran tunai ke dalam Tabung Kumpulan Wang Wakaf  tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada agensi kerajaan maupun swasta semata-mata.  MAIN perlu mengambil inisiatif  tersendiri antaranya memperkenalkan dan mengembangkan konsep wakaf tunai seperti yang dipraktikkan oleh Yayasan North America Islamic Trust[38] dan ia telah digunakan secara meluas oleh negara Islam yang lain sejak dahulu lagi. Melalui konsep ini ia dapat menarik lebih ramai pewakaf yang ingin menyertainya dan menyumbang wang mengikut kadar kemampuan individu. Ini kerana tidak semua masyarakat memiliki harta tanah atau aset kekal yang boleh disumbang untuk dijadikan harta wakaf.

Pihak MAIN digesa agar menyediakan infrastruktur yang lengkap untuk membolehkan masyarakat mewakafkan barang-barang yang boleh dipindah (Manqul). Usaha seperti ini secara tidak langsung meningkatkan jumlah harta wakaf. Konsep ini bukan hanya terhad kepada aset yang berbentuk wang tunai sahaja, malahan mekanisme lain yang menyerupai tunai juga diperluaskan seperti bon dan seumpamanya. Pendekatan lain juga perlu diambil dengan memperluaskan lagi konsep pewakafan harta melalui saham wakaf sebagaimana yang dilaksanakan oleh Majlis Agama Islam Johor[39]dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang. Saham wakaf ini membuka peluang kepada individu untuk menyumbang kepada pembelian harta wakaf melalui unit-unit saham wakaf. Melalui cara ini unit saham individu boleh dikumpulkan dan dikongsi untuk membeli harta wakaf yang lain seperti tanah atau bangunan. Konsep ini telah menampakkan hasilnya dengan peningkatan dana wakaf  dari setahun ke setahun dan mampu memberi sambutan yang membanggakan terhadap projek pengumpulan dana wakaf.[40]
Kesimpulan

Amalan pengurusan wakaf di Malaysia masih belum dapat menjalankan fungsinya secara efektif dalam menggerakkan ekonomi ummah dan orang Melayu khususnya. Institusi wakaf seharusnya menjadi nadi kepada orang Melayu dalam meningkatkan keupayaan pemilikan modal kekayaan dan ekuiti mereka. Institusi ini perlu diberi nafas baru agar ia menjadi sebuah institusi terunggul yang menjana kekayaan orang Melayu dan pengagihan secara adil. Melalui sokongan padu pihak kerajaan dan pihak-pihak berkaitan instrumen wakaf diyakini mampu dapat melestarikan sistem jaminan sosial kepada orang Islam /Melayu khususnya bagi memastikan mereka tidak terus ketinggalan dalam arus pembangunan menjelang tahun 2020.

           



Bibliografi

Ahmad Zaki Hj Abd Latif, Zuina bt Ismail, Norzaidi bin Mohd Daud (2006), “Pengurusan Harta Wakaf dan Potensinya ke Arah Kemajuan Pendidikan Umat Islam di Malaysia”, (Konvensyen Wakaf Kebangsaan 2006, Anjuran Jabatan Wakaf Zakat dan Haji, di Hotel Legend Kuala Lumpur, Pada 12-14 September 2006)

Ahmad Ibrahim (1999), “Waqaf dan Pelaksanaannya di Malaysia”, dalam Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia, Malayan Law Journal Sdn. Bhd

Abdullah Muhamad, “Pentadbiran Harta Amanah Orang-orang Islam: Peranan dan Tanggung jawab Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan”, (Kertas Kerja Seminar Pentadbiran Harta Amanah Orang-orang Islam di Malaysia, di Universiti Malaya, Kuala Lumpur)

Mohd Bakri Ibrahim (2008), Pelaksanaan Skim Wakaf Tunai Oleh Yayasan Waqaf Malaysia, Jurnal Pengurusan JAWHAR, bil.2, No.1 2008

Hishamuddin Mohd Ali, Megat Mohd Ghazali Megat A. Rahman, Asiah Othman (2006), “Pelaburan Wakaf: Stategi dan Rangka Kerja Perundangan Islam”, (Konvensyen Wakaf Kebangsaan 2006, Anjuran Jabatan Wakaf Zakat dan Haji, di Hotel Legend Kuala Lumpur, Pada 12-14 September 2006)

Mohd Dani Muhamad, Baharuddin Sayin (2006), “Wakaf dan Bandar Islam: Satu Perspektif Sejarah”,  (Prosiding Seminar Kebangsaan Pengurusan Harta dalam Islam,  Universiti Kebangsaan Malaysia, pada 8-9 Ogos 2006, di Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS)

Kamarudin Ngah (1992), Isu Pembangunan Tanah Wakaf di Pulau Pinang, cet.1, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Megat Mohd Ghazali Megat Abd Rahman, Asiah Othman (2006), “Pembangunan Tanah Wakaf: Isu, Prospek dan Stategi”, (Konvensyen Wakaf Kebangsaan 2006, Anjuran Jabatan Wakaf Zakat dan Haji, di Hotel Legend Kuala Lumpur, Pada 12-14 September 2006)

Mohd Afandi Mat Rani, Sayuti Abd Ghani (2010), Implikasi Perundangan Terhadap Pendaftaran Tanah Wakaf Di Malaysia: Satu Kajian Dari Aspek Akta Pengambilan Tanah 1960, dalam  Baharuddin Sayin, et. al (ed), Isu-isu Semasa Mengenai Waqaf,  cet.1, Pusat Penerbitan Universiti UiTM

Mohd Daud Bakar (1999), “Amalan Institusi Wakaf di Beberapa Negara Islam: Satu Perbandingan”, dalam Nik Mustapha Nik Hassan et. (ed), Konsep dan Pelaksanaan Wakaf di Malaysia, Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia.

Mohd Shahiran Abdul Latif (2006), Pembangunan Tanah Wakaf di Negeri Melaka, Tesis Ijazah Sarjana, Universiti Kebangsaan Malaysia: Bangi

Mohd Syahiran, Hasan Bahrom (2010), Potensi Ekonomi dalam Pembangunan Tanah Wakaf di Negeri Melaka, dalam  Baharuddin Sayin, et. al (ed), Isu-isu Semasa Mengenai Waqaf,  cet.1, Pusat Penerbitan Universiti UiTM

Nik Abdul Rasyid Nik Abdul Majid (1986), “Pembangunan Harta Wakaf di Malaysia: Suatu Tinjauan Sosio-Undang-undang”, (Kertas Kerja Seminar Kebangsaan Pengurusan dan Pentadbiran Harta Wakaf, Anjuran Bersama Majlis Agama Islam Perak dan Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri, di Kompleks Islam Darul Ridzuan, Pada 24-25 November 1986)

Nik Mustapha Nik Hassan (1998), “Sumbangan Institusi Wakaf Kepada Pembangunan Ekonomi”, dalam Nik Mustapha Nik Hassan et. (ed), Konsep dan Pelaksanaan Wakaf di Malaysia, Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Md. Nurdin Ngadimon (2006), “Pengembangan Harta Wakaf Menggunakan Instrumen Sukuk”, (Konvensyen Wakaf Kebangsaan 2006, Anjuran Jabatan Wakaf Zakat dan Haji, di Hotel Legend Kuala Lumpur, Pada 12-14 September 2006)

Salleh Buang (2001),“Pembentukan Harta Amanah Mengikut Undang-undang di Malaysia: Sejauhmanakah Undang-undang Islam Terpakai”, (Kertas Kerja Seminar Pentadbiran Harta Amanah Orang-orang Islam di Malaysia, di Universiti Malaya Kuala Lumpur pada 10 November 2001)

Sheikh Ghazali Hj. Abdul Rahman (2001), “Bidangkuasa Mahkamah Syariah dalam Pentadbiran Harta Amanah Orang-orang Islam di Malaysia”, (Kertas Kerja Seminar Pentadbiran Harta Amanah Orang-orang Islam di Malaysia di Universiti Malaya Kuala Lumpur pada 10 November 2001)

Shofian bin Ahmad (2008), Wakaf Tunai: Peranan dan Keistimewaannya Dalam Sistem Ekonomi Islam, dalam Prosiding Konvensyen Harta Pusaka, Wasiat dan Wakaf, Anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia dan MAIDAM, pada 18-19 Oktober 2008

Ramli Jusoh (1991), Pengenalan Ibadat Wakaf, Majlis Agama Islam Johor


Senarai Statut

Akta Kerajaan Tempatan 1960 (Akta 171)
Akta Pengambilan Balik Tanah 1960 (Akta 486)
Akta Pemegang Amanah 1949
Kanun Tanah Negara 1965 (Akta 56)
Peraturan Kawalan Wakaf 1959 Perak
Enakmen Mengesahkan Wakaf Orang-orang Islam Terengganu (No.10 Tahun 1972)
Kaedah-kaedah Wakaf Johor (No.15 tahun 1983)
Enakmen Wakaf Negeri Selangor ( bil.7 Tahun 1999)






[1] Rujuk: Peraturan Kawalan Wakaf 1959 Perak, Enakmen Mengesahkan Wakaf Orang-orang Islam Terengganu (No.10 Tahun 1972), Kaedah-kaedah Wakaf Johor (No.15 tahun 1983), Enakmen Wakaf Negeri Selangor ( bil.7 Tahun 1999).
[2] Sekatan wakaf ini terdapat dalam semua Enakmen Pentadbiran Agama Islam negeri kecuali Johor, Terengganu dan Perlis. Lihat Enakmen M.A.I.K. (bil.4 Tahun 1994), Seksyen 63 (1), Enakmen Melaka (bil.3 Tahun 1991), Seksyen 39(1), Enakmen Pulau Pinang (bil.7 Tahun 1993), Seksyen 94 (1).
[3] Siti Mashitah Mahamood (2001), “ Masalah Undang-undang Dalam Pentadbiran Harta Amanah Wakaf di Malaysia”, (Kertas kerja Seminar Pentadbiran Harta Amanah Orang-Orang Islam di Malaysia di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya), hlm.2.
[4] Akta Pemegang Amanah 1949, Seksyen 2 perlu dipinda dengan memberi maksud mahkamah adalah termasuk juga Mahkamah Tinggi Syariah. Begitu juga dengan Seksyen 2(4) mengecualikan perkara wakaf yang diwujud mengikut prinsip undang-undang Islam.
[5] Abdullah Muhamad, “Pentadbiran Harta Amanah Orang-orang Islam: Peranan dan Tanggung jawab Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan”, (Kertas Kerja Seminar Pentadbiran Harta Amanah Orang-orang Islam di Malaysia, di Universiti Malaya, Kuala Lumpur), hlm.13.
[6] Mohd Daud Bakar (1999), “Amalan Institusi Wakaf di Beberapa Negara Islam: Satu Perbandingan”, dalam Nik Mustapha Nik Hassan et. (ed),  Konsep dan Pelaksanaan Wakaf di Malaysia, Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM),  hlm.180-182.
[7] Bayaran lebih kurang RM 100.00 adalah tinggi dibandingkan bayaran caj pengurusan. Bayaran ini akan menghalang galakan orang ramai untuk mewakafkan harta mereka.
[8] Konsep wakaf amat menekankan tentang pengekalan (permanency/ perpetuity) asset yang diwakafkan oleh pewakaf.
[9] Kanun Tanah Negara 1965 (Akta 56), Seksyen 76 (a). Selepas tahun 1970 pemindahan hak milik tanah negeri adalah tidak melebihi 99 tahun yang juga dikenali sebagai “Pajakan Negeri (state lease) ataupun “Pegangan Pajakan” (leasehold). Oleh itu tanah wakaf yang termasuk dalam kategori ini akan dikembalikan kepada Pihak Berkuasa Negeri. Lihat Seksyen 46(1) dan 47 (1).
[10] Akta Pengambilan Balik Tanah 1960 (Akta 486), Seksyen. 3.
[11] Akta A999; mula berkuat kuasa pada 1 Mac, 1998 melalui P.U. (B)94/98.
[12] Ibid., Seksyen 3A.
[13] Akta Kerajaan Tempatan 1960 (Akta 171), Seksyen.134.
[14] Akta Kanun Tanah Negara 1965 (Akta 56), Seksyen.196 (1) (a).
[15] Kanun Tanah Negara 1965 (Akta 56), seksyen 136 (1)(f)(i).
[16]Ahmad Ibrahim (1999), “Waqaf dan Pelaksanaannya di Malaysia”, dalam Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia, Malayan Law Journal Sdn. Bhd., hlm.299. Takrif wakaf sebagai amanah yang diperuntukkan dalam Enakmen Wakaf Selangor (No.7 Tahun 1999) telah membezakan tafsiran amanah terdapat di dalam Akta Pemegang Amanah 1949.
[17] Lihat: Tengku Abdul Kadir Bin Tengku Chik lwn. Majlis Agama Islam Kelantan, 7 Kanun (2); Jurnal Undang-undang Malaysia, Jun 1995, DBP.
[18] Sehingga kini kes ini masih tertangguh di peringkat Mahkamah Rayuan. Akibatnya pelan pembinaan Universiti JAIPETRA terpaksa ditangguhkan sehingga kes ini selesai dibicarakan.
[19] [1970], 1 MLJ. 222.
[20] [1995], 10 JH ,  222. Lihat juga kes Haji Embong lwn. Tengku Nik Maimunah (1980) 1 MLJ 286.
[21] Ahmad Muhamed Ibrahim, (1994), Pentadbiran Undang-undang Islam di Malaysia, Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM),  hlm.54.
[22] Abdullah Muhamad (2001),  op.cit.,  hlm.1.
[23] Pindaan kepada semua akta yang berkaitan adalah perlu dengan menyatakan secara jelas bahawa akta yang digubal diperingkat Persekutuan adalah tidak termasuk wakaf yang diwujud mengikut prinsip-prinsip undang-undang Islam.
[24]Sheikh Ghazali Hj. Abdul Rahman (2001), “Bidangkuasa Mahkamah Syariah dalam Pentadbiran Harta Amanah Orang-orang Islam di Malaysia”, (Kertas Kerja Seminar Pentadbiran Harta Amanah Orang-orang Islam di Malaysia di Universiti Malaya Kuala Lumpur pada 10 November 2001), hlm.39.
[25] Rujukan boleh dibuat terhadap kes Tg. Yusuf  Tg. Abdullah lwn. M.A.I.K. dan lain-lain kes yang berkaitan.
[26]Salleh Buang (2001),“Pembentukan Harta Amanah Mengikut Undang-undang di Malaysia: Sejauhmanakah Undang-undang Islam Terpakai”, (Kertas Kerja Seminar Pentadbiran Harta Amanah Orang-orang Islam di Malaysia, di Universiti Malaya Kuala Lumpur pada 10 November 2001),  hlm.16.
[27] Harta tanah Baitulmal hanya terikat dengan kebajikan ekonomi dan sosial masyarakat Islam. Harta ini boleh dibangunkan dengan apa jua pembangunan asalkan tidak bertentangan dengan hukum syarak dan melampaui batas hukum. Harta wakaf adalah untuk tujuan kebajikan umat Islam  dan pengembangan syiar Islam dan bukannya untuk meraih keuntungan. Oleh itu ia tidak boleh dibangunkan dengan sesuka hati tanpa mendapat kebenaran secara terperinci daripada Jamaah Ulama.
[28] Terdapat juga tanah wakaf  masjid yang tidak diterima oleh  MAIN kerana tidak memenuhi kriteria dari segi penggunaan. Pewakaf membataskan penggunaan hanya untuk pembinaan tapak masjid, sedangkan dilokasi yang sama telah ada masjid yang telah diguna. Kesan tanah wakaf ini MAIN terpaksa menanggung beban cukai dan sebarang pembangunan lain tidak dapat dijalankan.
[29] Mohd Syahiran, Hasan Bahrom (2010), Potensi Ekonomi dalam Pembangunan Tanah Wakaf di Negeri Melaka, dalam  Baharuddin Sayin, et. al (ed), Isu-isu Semasa Mengenai Waqaf,  cet.1, Pusat Penerbitan Universiti UiTM, hlm.32
[30] Mohd Zain Haji Othman (1998), “Wakaf Dari Perspektif Undang-undang Islam, Amalan dan Permasalahannya di Malaysia”, dalam Ahmad Ibrahim et al. (ed), Undang-undang Keluarga dan Harta Wakaf, Al-Ahkam, cet.1. jld.6. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm.193.
[31] Megat Mohd Ghazali Megat Abd Rahman, Asiah Othman (2006), “Pembangunan Tanah Wakaf: Isu, Prospek dan Stategi”, (Konvensyen Wakaf Kebangsaan 2006, Anjuran Jabatan Wakaf Zakat dan Haji, di Hotel Legend Kuala Lumpur, Pada 12-14 September 2006), hlm.3.
[32] Mohd Afandi Mat Rani, Sayuti Abd Ghani (2010), Implikasi Perundangan Terhadap Pendaftaran Tanah Wakaf Di Malaysia: Satu Kajian Dari Aspek Akta Pengambilan Tanah 1960, dalam  Baharuddin Sayin, et. al (ed), Isu-isu Semasa Mengenai Waqaf,  cet.1, Pusat Penerbitan Universiti UiTM
[33] Nik Mohd Zain bin Haji Yusof, Azimuddin bin Bahari (1999), op. cit., hlm.147.
[34] Kamarudin Ngah (1992), Isu Pembangunan Tanah Wakaf di Pulau Pinang, cet.1, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm.30
[35] Mohd Shahiran Abdul Latif (2006), Pembangunan Tanah Wakaf di Negeri Melaka, Tesis Ijazah Sarjana, Universiti Kebangsaan Malaysia: Bangi, hlm.64
[36] Ibid., hlm.65
[37] Mohd Afandi Mat Rani (2002), Undang-undang Pentadbiran Harta Wakaf di Negeri Kelantan, Tesis Sarjana Syariah dan Undang-undang, Universiti Malaya: Kuala Lumpur, hlm.97
[38] Mohd Daud Bakar (1999), “Amalan Institusi Wakaf di Beberapa Negara Islam: Satu Perbandingan”, dalam Nik Mustapha Nik Hassan et. (ed), Konsep dan Pelaksanaan Wakaf di Malaysia, Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM),  hlm.182.
[39] Ramli Jusoh (1991), Pengenalan Ibadat Wakaf, Majlis Agama Islam Johor, , hlm. 43-54.
[40] Lihat: Nik Mustapha Nik Hassan (1998), “Sumbangan Institusi Wakaf Kepada Pembangunan Ekonomi”, dalam Nik Mustapha Nik Hassan et. (ed), Konsep dan Pelaksanaan Wakaf di Malaysia, Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM),  hlm.6 dan 8.





[1] Mohd Dani Muhamad, Baharuddin Sayin (2006), “Wakaf dan Bandar Islam: Satu Perspektif Sejarah”,  (Prosiding Seminar Kebangsaan Pengurusan Harta dalam Islam,  Universiti Kebangsaan Malaysia, pada 8-9 Ogos 2006, di Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS), hlm.231. Lihat juga: Ahmad Zaki Hj Abd Latif, Zuina bt Ismail, Norzaidi bin Mohd Daud (2006), “Pengurusan Harta Wakaf dan Potensinya ke Arah Kemajuan Pendidikan Umat Islam di Malaysia”, (Konvensyen Wakaf Kebangsaan 2006, Anjuran Jabatan Wakaf Zakat dan Haji, di Hotel Legend Kuala Lumpur, Pada 12-14 September 2006), hlm.1.
[2] Hishamuddin Mohd Ali, Megat Mohd Ghazali Megat A. Rahman, Asiah Othman (2006), “Pelaburan Wakaf: Stategi dan Rangka Kerja Perundangan Islam”, (Konvensyen Wakaf Kebangsaan 2006, Anjuran Jabatan Wakaf Zakat dan Haji, di Hotel Legend Kuala Lumpur, Pada 12-14 September 2006), hlm.18.
[3] Nik Abdul Rasyid Nik Abdul Majid (1986), “Pembangunan Harta Wakaf di Malaysia: Suatu Tinjauan Sosio-Undang-undang”, (Kertas Kerja Seminar Kebangsaan Pengurusan dan Pentadbiran Harta Wakaf, Anjuran Bersama Majlis Agama Islam Perak dan Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri, di Kompleks Islam Darul Ridzuan, Pada 24-25 November 1986), hlm.6.     
[4] Md. Nurdin Ngadimon (2006), “Pengembangan Harta Wakaf Menggunakan Instrumen Sukuk”, (Konvensyen Wakaf Kebangsaan 2006, Anjuran Jabatan Wakaf Zakat dan Haji, di Hotel Legend Kuala Lumpur, Pada 12-14 September 2006), hlm.1.
[5] Lihat Laporan Seminar Management and Development of Awkaf Properties, Jeddah, pada 4-16 Ogos 1984, hlm.2. Lihat juga Laporan Nik Abdul Rasyid Nik Abdul Majid (1994), “Ke Arah Penubuhan Badan Kebangsaan Untuk Memajukan Tanah Wakaf dan Baitulmal”, (Jawatankuasa Mengkaji Tanah Wakaf, Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri), hlm.15-34. Lihat Juga: Hamat @ Mustafa Bin Abd. Rahman, Mad Saad Hassan (1986), “Masalah-masalah yang Menghalangi Pembangunan Harta-harta Wakaf dari Sudut Pentadbiran: Perhatian Khusus di Negeri Perak”, (Kertas Seminar Pengurusan dan Pentadbiran Harta Wakaf Peringkat Kebangsaan, Anjuran Majlis Agama Islam Perak dengan Kerjasama Majlis Agama Perak dan Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri, Pada 24-25 November 1986), hlm.2.
[6] Ibid., hlm.36
[7] Md Nurdin Ngadimon (2009), Memperkasa Peranan Baitulmal Menerusi Instrumen Pasaran Modal Islam, Konvensyen Baitulmal Kebangsaan 2009, Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pada 24-25 Jun 2009, hlm.4.
[8] Shofian bin Ahmad (2008), Wakaf Tunai: Peranan dan Keistimewaannya Dalam Sistem Ekonomi Islam, dalam Prosiding Konvensyen Harta Pusaka, Wasiat dan Wakaf, Anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia dan MAIDAM, pada 18-19 Oktober 2008, hlm.320-323. Lihat juga: Mohd Bakri Ibrahim (2008), Pelaksanaan Skim Wakaf Tunai Oleh Yayasan Waqaf Malaysia, Jurnal Pengurusan JAWHAR, bil.2, No.1 2008, Jabatan Wakaf dan Haji Malaysia, hlm.3-5

0 ulasan:

Catat Ulasan